Friday, January 24, 2014

TRIBUT BUAT USTAZ HARUN TAIB : DIA MURABBI, AYAHANDA DAN TEMAN

Hari ini BunkCop berasa sedih kerana kita telah kehilangan seorang tokoh hebat dalam pejuangan dakwah di muka bumi malaysia ni amnya.. semalam tepat pukul 12 malam kita dikejutkan dengan pemergian Ustaz Harun Taib. Semoga Rohnya dicucuri rahmat.. Al-Fatihah..
 






BunkCop kongsikan coretan seorang yang amat mengenali beliau...

Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor.

Seharian alam siber berdecak dengan berita keuzuran Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, juga euforia syahdu dengan berita Dr Harun Din yang juga turut dimasukkan ke wad CCU IJN. Saya dan rombongan terbang ke bumi Tawau untuk program ekspedisi Dakwah yang kami rancang beberapa bulan yang lepas. Kedua tokoh ini adalah jantung hati jemaah yang disayangi dan sentiasa didoakan kesihatan mereka, keduanya juga adalah ahli Majlis Syura Ulama PAS.

Panggilan telefon yang ringkas daripada YB Ustaz Mohd Nor Hamzah , mengkhabarkan kepulangan Tuan Guru Ustaz Dato Harun Taib ke rahmatullah seperti percikan petir yang mengoncang sukma. Sosok besar gerakan Islam semenjak pulang dari Ardhul kinanah pada tahun 1981 itu tak terhitung baktinya kepada medan amal Islami di tanahair ini. Anak didik Ikhwanul Muslimin semenjak di bumi Nabawi, serta melanjutkan kesarjanaannya di kampus al Azhar bersama Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.

Beliau antara tokoh kaderisasi dakwah yang unggul dalam PAS, selain almarhum Ustaz Yahya Othman dan Tuan Guru Presiden PAS. Semenjak pulang ke Terengganu daripada pemukiman ilmu di Asia Barat , beliau secara sepenuh masa mewakafkan diri beliau dalam perjuangan, membangunkan PAS yang mula mendapat tempat direlung hati anak-anak muda di awal dekad 80an akibat kebangkitan Islam yang sedang menyelimuti dunia Islam. Ustaz Harun antara sarjana PAS yang terkenal alim, haraki dan sentiasa subur dengan majlis pencerahan, juga tokoh tajnid yang sentiasa berlanglangbuana ke serata dunia untuk mengkaderkan amilin parti.

Beliau bersama Ustaz Yahya Othman dan murabbi muda PAS yang lain telah menyusun manhaj tarbiah PAS pada tahun 1982 , seterusnya mendapat reputasi cemerlang dalam dunia pendidikan PAS. Dalam pertengahan dekad 1980an, beliau membentangkan kertas kerja tentang pendidikan pra sekolah di bawah PAS dan akhirnya PASTI telah muncul sebagai produk pendidikan jamaah yang sangat piawai dan membanggakan gerakan Islam tertua di negara ini. Bersama teman- teman pimpinan yang lain dalam Badan Perhubungan PAS Terengganu, beliau telah mengasaskan Maahad Darul Quran Rusila pada tahun 1985, bahkan turut menjadi tenaga pengajar yang awal. Sekolah kader terbesar PAS ini juga telah melahirkan ribuan alumni daripada rahimnya, bahkan mampu mengilangkan tenaga pakar PAS sehingga mampu duduk di Majlis Syura Ulama PAS seperti Ustaz Zaharuddin Mohamad.

Tokoh tarbiyah ini juga telah membangunkan jihad taalim di kawasan pedalaman Terengganu,iaitu di Kampung Kubang Lembek sehingga terbangunnya markas tarbiah, sekolah rendah Islam Darul Ehsan, KUDQI. Kesan pentarbiahan kepada masyarakat Hulu Terengganu juga menyaksikan DUN Manir menjadi kubu kuat PAS sejak zaman berzaman dan kini anakandanya , Hilmi mewakili konstitusi tersebut.

Ustaz Harun mula menjadi nama besar apabila memenangi Pilihanraya kecil Teluk Pasu pada tahun 1989 dengan menewaskan Haji Abdul Rahman, seterusnya menang dalam PRU pada tahun 1990 di DUN Manir. Beliau antara 10 orang calon APU yang dihantar ke Wisma Darul Iman dalam pilihanraya umum 1990 yang menyaksikan aksi serpihan UMNO, Semangat 46. Beliau antara nama besar dalam gerakan Islam yang juga melahirkan banyak karya-karya haraki seperti ' muslimat Pembangun Ummah', 'berbilang-bilang jemaah' serta puluhan kertas kerja yang menjadi teks usrah dalam PAS.

Murabbi ini telah menunjukkan keteladanan yang indah di jalan dakwah, membentuk keluarganya untuk sama-sama berjuang dan mengucur keringat di medan amal Islami. Isterinya , Ustazah Zainab pernah menjadi Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, anak- anak lelaki beliau, Ustaz Hilmi dan Ustaz Hamdi menjadi tokoh penting dalam pemuda PAS . Yang paling penting beliau melahirkan ribuan anak didik di medan perjuangan dengan pelbagai latarbelakang sosial dan pendidikan. Markas Tarbiah Kubang Lembik, menjadi saksi sejarah bagaimana gigihnya sosok ini membangunkan tarbiah serta menjadi kilang tajnid.

Peranan paling besar almarhum ialah apabila dilantik menjadi Exco kerajaan Terengganu dalam penggal 1999 sehingga 2004, beliau diamanahkan sebagai Pengerusi Pendidikan dan Pembangunan Dakwah Negeri Terengganu. Lilitan serban merah putih dan wajah jernih itu tidak pernah gagal untuk memberikan idea yang terbaik bagi membangunkan pendidikan Islam dan dakwah. Terengganu akhirnya menubuhkan pelbagai institusi pendidikan seperti SRAB, KOSTAQ, KOSPINT, pemerkasaan KUSZA sebagai sebuah universiti, serta menubuhkan Unit Pembinaan Insan dan Unit Mubaligh untuk merancakkan dakwah di negeri Tok Ku Paloh itu.

Malam merangkak sepi dan sayu apabila saya meluncurkan tulisan belasungkawa ini kerana almarhum seperti bapa saya. Semenjak ditamrinkan dalam Ikatan Pelajar Islam Terengganu di Kubang Lembik di alam kampus, sehinggalah saya menjadi aktivis Dewan Pemuda. Beberapa kali disergah kerana itulah cara beliau mendidik supaya anak muda tak lalai . Malah paling manis almarhum adalah saksi majlis pernikahan saya serta sering bertanya khabar melalui orang tengah . Murabbi ini mampu mengikat dan menjinakkan hati kita supaya terus menerjang badai perjuangan dan jangan berpaling tumit. Saya mencium tangannya kali terakhir dalam mesyuarat PAS Pusat dua bulan yang lepas, sorotan matanya bening dan terpancar kasih sayang yang tulus. Selamat jalan sang murabbi, berpulang ke negeri abadi setelah seluruh hidupmu diabadikan di atas jalan dakwah ini. Untaian kata- kata nasihatmu tetap kami sematkan di relung dada kami, kami akan terus menggalang tugas dakwah ini...alfatihah


Siapa Sultan Abdul Hamid???

Pernah tengok gambar ni kat kedai x????



Jom BunkCop kongsi bersama siapa Sultan Abdul Hamid ni...


DYMM Almarhum Tuanku Sultan Abdul Hamid Halim Shah Ibni Almarhum Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah telah diputerakan pada 4hb. Jun 1864. Baginda ialah Sultan Kedah yang ke-28 dan memerintah dari tahun 1882 sehingga 1943. Baginda menaiki takhta sebagai Sultan Kedah pada 21hb. Januari 1882 ketika baginda berusia 19 tahun, setelah kemangkatan kekanda baginda iaitu Sultan Zainal Rashid Muadzam Shah.

Memandangkan usia baginda masih muda ketika ditabalkan, baginda telah melantik Jemaah Pemangku Raja untuk membantu baginda dalam urusan pentadbiran negeri. Sultan Abdul Hamid sering mengadakan lawatan ke negeri-negeri lain untuk meninjau kemajuan negeri berkenaan dan belajar tentang urusan pentadbiran negeri. Pada tahun 1885, baginda melawat negeri Perak. Baginda juga mengunjungi Singapura untuk tujuan yang sama. Sultan Abdul Hamid sering mengunjungi Bangkok untuk merapatkan hubungan dengan penanungnya iaitu Rama IV. Setiap kali tiba hari perayaan atau hari keputeraan Rama IV, baginda akan ke Bangkok dengan menaiki kapal baginda 'Good Luck'. Antara kota lain yang pernah dilawati ialah Rangoon (Yanggon), Mandalay, Bombay (Mumbai) dan menghadiri upacara pertabalan Raja Inggeris, King George V pada tahun 1911.

Berdasarkan hubungan diplomatik yang erat dengan kerajaan Siam, baginda telah dikurnai bintang 'Order the White Elephant First Class' bersama gelaran Chao Phya Saiburi. Atas kegigihan baginda, kerajaan Siam menganugerahkan pangkat 'Chao Phya Riddisongkran Bakti' serta dilantik sebagai Pesuruhjaya Tinggi Setul dan Perlis. Ketulusan hati baginda telah berjaya menawan hati Raja Chulalongkorn, hinggakan putera baginda iaitu Tunku Yusof, Tunku Badlishah dan Tunku Mohammad Jewa telah dijadikan anak angkat Raja Chulalongkorn dan dimasukkan ke King's College di Bangkok. Tunku Yusuf sebagai King's Scholar kemudiannya dihantar ke Rugby School, England untuk melanjutkan pelajarannya. Tunku Badlishah yang juga sebagai King's Scholar dihantar ke Wadham College, Oxford untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang ekonomi. Sementara Tunku Mohammad Jewa terus menuntut di King's College sehingga 1909 sebelum meneruskan pelajaran di Maktab Melayu Kuala Kangsar.

Sultan Abdul Hamid telah melakukan banyak perubahan dalam urusan pentadbiran. Pada akhir abad ke-19, baginda telah mewujudkan Jabatan Perbendaharaan, Jabatan Tanah dan Ukur, Jabatan Audit, Pejabat Besar Pos dan Telekom serta Mahkamah Keadilan. Baginda juga telah menubuhkan Council Negeri yang berperanan membantu dalam urusan pentadbiran. Anggota majlis tersebut terdiri daripada Tunku Ibrahim, Tunku Abdul Aziz (Raja Muda), W.J.F. Williamson (Penasihat Kewangan), Haji Ahmad (Hakim Besar) dan Cik Mohamed Ariffin (Setiausaha Kerajaan). Kecekapan Datuk Wan Muhammmad Saman sebagai Perdana Menteri telah banyak membantu baginda dalam pentadbiran negeri. Kematian Datuk Wan Muhammmad Saman pada 14hb. Disember 1898 merupakan satu kehilangan besar kepada negeri Kedah.Sementara untuk jaminan keselamatan, baginda telah mencadangkan penubuhan pasukan polis.

Sultan Abdul Hamid juga membawa banyak pembaharuan dalam bidang ekonomi. Antaranya ialah baginda menggalakkan penanaman padi di negeri Kedah. Hasil perbincangan dengan Datuk Wan Muhammmad Saman, terusan sepanjang 22 batu, 24 kaki lebar dan sedalam 5 kaki telah dibina bermula dari Sungai Kedah ke kaki Gunung Jerai untuk tujuan pengairan. Selain penanaman padi, penanaman getah turut diperkenalkan pada tahun 1909. Anakanda baginda, Tunku Ibrahim telah memperkenalkan pekan sehari atau lebih dikenali sebagai 'pekan nat' untuk para petani memasarkan hasil pertanian mereka. Baginda telah berkenan menganugerahkan sebidang tanah sebagai tapak untuk pembinaan 'Pekan Rabu'.

Sultan Abdul Hamid turut mengambil berat soal perkembangan agama Islam. Sekembali dari Siam pada tahun 1885, baginda telah memberi perhatian terhadap usaha membesarkan Masjid Zahir. Baginda mengambil contoh masjid di Acheh untuk reka bentuk baru Masjid Zahir. Baginda telah menubuhkan Majlis Ulama, mengusahakan pembinaan Madrasatul Hamadiah di Limbung Kapal dan memperkenan pembinaan Al Ma'hadi Mahmud (Maktab Mahmud) di Jalan Pegawai. Selain itu, baginda telah memperkenalkan jubah untk dipakai oleh kakitangan masjid.

Sultan Abdul Hamid  juga berkebolehan menguasai bahasa Inggeris, bahasa Siam dan bahasa Arab. Baginda amat menitikberatkan soal pendidikan rakyat. Untuk tujuan itu, banyak sekolah didirikan. Antaranya di Kulim (1896), Jalan Baru Alor Star (1898), Yan (1900), Simpang Empat Kangkung (1906) dan Junjung, Kulim (1906). Atas keprihatinan melihat pelajar aliran Inggeris berulang-alik untuk mendapat ilmu di Pulau Pinang, baginda telah perkenan menubuhkan sebuah sekolah Inggeris yang pertama pada tahun 1908 di Alor Star yang kemudiannya dikenali sebagai Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH). Pada peringkat awal, para pelajarnya hanya terdiri daripada anak-anak golongan bangsawan. Namun pada tahun 1911, KSAH telah dibuka untuk orang ramai. Pada tahun 1917, KSAH telah dirasmikan oleh baginda. Sekolah Cina turut dibenarkan dibina. Pada tahun 1930-an wujud pula sekolah Tamil pertama di negeri Kedah iaitu di Kuala Muda.

Antara pembaharuan lain ialah baginda menggerakkan usaha pembinaan jalan raya, memprkenalkan perkhidmatan telegraf (1899), penubuhan Jabatan Kesihatan dan penjara (1905), hospital (1908) serta pengemasan Balai Nobat (1912). Baginda turut memperkenalkan bendera peribadi baginda yang berwarna kuning pada tahun 1912.
Menginjak di penghujung pemerintahan, baginda telah kehilangan kaum kerabat yang banyak membantu iaitu Tunku Aziz, Tunku Mahmud dan Tunku Ibrahim. Baginda sendiri turut mengalami masalah kesihatan. Semasa kedatangan Jepun pada tahun 1943, baginda telah melarikan diri mengikut pegawai-pegawai Inggeris. Atas kebijaksanaan Tunku Abdul Rahman, baginda dibawa ke Sidim, Kulim untuk mendapatkan perlindungan. Baginda telah menduduki takhta selama 62 tahun. Baginda dianggap sebagai seorang Sultan yang memiliki kebesaran daulat oleh banyak generasi. Baginda juga dikenali dengan gelaran Yang Di-pertuan.

Baginda mangkat pada 13hb. Mei 1943 dan diganti oleh Sultan Badlishah. Anakanda-anakanda almarhum termasuklah DYMM Sultan Badlishah, Tunku Ya'acob dan Tunku Abdul Rahman Putra yang dilahirkan pada 8hb. Februari 1903 di Alor Star. Tunku Abdul Rahman Putra ialah Perdana Menteri Malaysia pertama (1957 - 1959 dan 1959 - 1970). Beliau meninggal dunia pada 6hb. Disember 1990 di Kuala Lumpur. KDYMM Tuanku Sultan Abdul Halim yang memerintah negeri Kedah Darul Aman sekarang ialah cucunda DYMM Tuanku Sultan Abdul Hamid Halim Shah.

Catatan:
Diedit dari esei asal yang diterbitkan di dalam buku "Indah Khabar Indah Rupanya" (diterbitkan sempena KSAH 100 Tahun).


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

WORLD MAP VISITOR

Locations of Site Visitors