Sunday, September 30, 2012

KISAH JURAIJ DENGAN IBUNYA

  
Satu masa lalu terdapat seorang ahli ibadah yang bernama Juraij. Beliau banyak beribadah sehingga didirikan sebuah biara untuknya, dan dia tinggal di dalamnya. Suatu ketika ibunya datang pada saat dia sedang mendirikan solat. Ibunya memanggilnya: “Wahai Juraij!” Juraij berkata dalam hatinya: “Wahai Tuhan, ibuku (memanggil) padahal aku bersolat.”Juraij memilih untuk meneruskan solatnya sehingga ibunya pergi.

Pada keesokan hari ibunya datang semula dan Juraij masih sedang bersolat. Ibunya memanggilnya: “Wahai Juraij!” Juraij berkata dalam hatinya: “Wahai Tuhan, ibuku (memanggil) padahal aku bersolat.” Juraij memilih untuk meneruskan solatnya sehingga ibunya pergi.

Pada keesokan hari ibunya datang semula (untuk kali ketiga) dan Juraij masih sedang bersolat. Ibunya memanggilnya: “Wahai Juraij!” Juraij berkata dalam hatinya: “Wahai Tuhan, ibuku (memanggil) padahal aku bersolat.” Juraij memilih untuk meneruskan solatnya sehingga ibunya pergi. Lantas ibunya berdoa: “Ya Allah! Janganlah Engkau matikan Juraij melainkan setelah dia melihat wajah-wajah pelacur!”

Sejak saat itu kaum Bani Israil mula berbincang berkenaan Juraij dan ibadahnya. Ada seorang pelacur yang berdandan cantik berkata: “Jika kalian kehendaki, aku akan menggodanya untuk kalian.” Maka pelacur itu menawarkan diri kepada Juraij, tetapi Juraij sama sekali tidak mengendahkannya. Lalu pelacur tersebut mendatangi seorang pengembala kambing yang sedang berteduh di biara Juraij, menyerahkan diri kepadanya sehingga pengembala itu menyetubuhinya.

Pelacur tersebut menjadi hamil. Ketika anak itu dilahirkan, pelacur tersebut mendakwa: “Ini adalah anak Juraij.” Maka orang ramai mendatangi Juraij, memaksanya keluar, menghancurkan biaranya dan memukulnya. Juraij bertanya: “Kenapakah kalian melakukan semua ini?” Mereka menjawab: “Engkau telah melacur dengan pelacur ini sehingga dia melahirkan anak kamu!” Juraij bertanya: “Di manakah anak tersebut?”

Lalu bayi itu dibawa kepada Juraij. Dia berkata: “Biarkan aku, aku ingin bersolat terlebih dahulu.” Maka Juraij bersolat. Setelah selesai, Juraij mendatangi bayi tersebut, memukul di perutnya, lalu bertanya: “Wahai bayi, siapakah ayah kamu?” Bayi itu menjawab: “Ayahku adalah seorang pengembala kambing.”

Tatkala mendengar jawapan tersebut, orang ramai kembali kepada Juraij, menyentuhnya dan menciumnya (kerana mereka telah bersalah dalam menuduhnya) dan berkata: “Kami akan membangunkan semula biara kamu yang kami hancurkan dengan emas.” Juraij menjawab: “Tidak, tetapi bangunkanlah ia dengan tanah sebagaimana asalnya.”

Demikian sebuah kisah benar yang berlaku kepada umat terdahulu yang diceritakan oleh Rasulullah s.a.w.. Ia diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam kitab sahihnya, hadis no: 2550.

Tujuan saya ialah bagi menerangkan bahawa antara solat dan ibu, ibu memiliki kepentingan yang lebih tinggi di dalam neraca Islam. Ini kerana berbuat baik kepada ibu – sekalipun sekadar menyahut panggilannya – adalah ibadah sebagaimana mendirikan solat adalah ibadah. Di antara dua ibadah ini, berbuat baik kepada ibu adalah lebih utama. Namun ini tidaklah bermakna seseorang itu tidak perlu solat. Dia tetap solat, hanya waktu solatnya disesuaikan dengan kewajipan berbuat baik kepada ibu. Sebagai contoh dalam kes di atas, Juraij hanya perlu menyahut panggilan ibu dan memenuhi hajatnya, lalu setelah itu menyambung kembali solatnya.

Bagi menguatkan kedudukan ibu di dalam neraca Islam, berikut saya kemukakan sebuah lagi perbandingan. Sama-sama kita ketahui bahawa turun ke medan jihad bagi memerangi musuh dan menegakkan Islam adalah amalan yang utama lagi penting. Akan tetapi adakah ia lebih utama dan penting daripada berbuat baik kepada ibu?

Pada zaman Rasulullah s.a.w., seorang sahabat bernama Jahimah r.a. datang menemui baginda meminta pandangan untuk ikut serta dalam ekspedisi jihad. Rasulullah bertanya: “Adakah kamu masih mempunyai ibu?” Jahimah menjawab: “Ya.” Lalu Rasulullah bersabda: “Tinggallah bersamanya kerana sesungguhnya syurga terletak di bawah tapak kakinya.” [Shahih Sunan al-Nasai, no: 3104]

Di samping kita memperhatikan kepentingan berbuat baik kepada ibu, tidaklah bermakna kita mengabaikan ayah. Islam tetap menekankan berbuat baik kepada ibu dan ayah. Hanya jika dibandingkan antara kedua-duanya, maka berbuat baik kepada ibu adalah tiga kali lebih penting berbanding berbuat baik kepada ayah.

Dalam sebuah hadis yang saya yakin para pembaca sekalian pernah mendengarnya, seorang lelaki datang menemui Rasulullah dan bertanya: “Siapakah manusia yang paling berhak untuk aku layan dengan sebaik-baiknya?” Baginda menjawab: “Ibu kamu.” Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?” Baginda menjawab: “Ibu kamu.” Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?” Baginda menjawab: “Ibu kamu.” Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?” Baginda menjawab: “Ayah kamu.” [Shahih al-Bukhari, no: 5971]

Jika dikaji kesemua hadis-hadis di atas, akan didapati bahawa kepentingan berbuat baik kepada ibu berlaku sepanjang masa. Ia tidak terhad kepada hari tertentu sahaja. Maka pastikan dalam aktiviti harian, mingguan, bulanan dan tahunan, diselitkan agenda berbuat baik kepada ibu sekalipun sekadar menalifonnya, menghantar emel, pesanan ringkas atau surat.



Thursday, September 27, 2012

DIPOTONG TANGAN KERANA MEMBERI SEDEKAH


Dikisahkan bahawa semasa berlakunya kekurangan makanan dalam kalangan Bani Israel, maka lalulah seorang fakir menghampiri rumah seorang kaya dengan berkata, "Sedekahlah kamu kepadaku dengan sepotong roti dengan ikhlas kerana Allah S.W.T."

Setelah fakir miskin itu berkata demikian maka keluarlah anak gadis orang kaya, lalau memberikan roti yang masih panas kepadanya. Sebaik saja gadis itu memberikan roti tersebut maka keluarlah bapa gadis tersebut yang bakhil itu terus memotong tangan kanan anak gadisnya sehingga putus. Semenjak dari peristiwa itu maka Allah S.W.T pun mengubah kehidupan orang kaya itu dengan menarik kembali harta kekayaannya sehingga dia menjadi seorang yang fakir miskin dan akhirnya dia meninggal dunia dalam keadaan yang paling hina.

Anak gadis itu menjadi pengemis dan meminta-minta dari satu rumah ke rumah. Maka pada suatu hari anak gadis itu menghampiri rumah seorang kaya sambil meminta sedekah, maka keluarlah seorang ibu dari rumah tersebut. Ibu tersebut sangat kagum dengan kecantikannya dan mempelawa anak gadis itu masuk ke rumahnya. Ibu itu sangat tertarik dengan gadis tersebut dan dia berhajat untuk mengahwinkan anaknya dengan gadis tersebut. Maka setelah perkahwinan itu selesai, maka si ibu itu pun memberikan pakaian dan perhiasan bagi menggantikan pakaiannya.

Pada suatu malam apabila sudah dihidang makanan malam, maka si suami hendak makan bersamanya. Oleh kerana anak gadis itu kudung tangannya dan suaminya juga tidak tahu bahawa dia itu kudung, manakala ibunya juga telah merahsiakan tentang tangan gadis tersebut. Maka apabila suaminya menyuruh dia makan, lalu dia makan dengan tangan kiri. Apabila suaminya melihat keadaan isterinya itu dia pun berkata, "Aku mendapat tahu bahawa orang fakir tidak tahu dalam tatacara harian, oleh itu makanlah dengan tangan kanan dan bukan dengan tangan kiri."

Setelah si suami berkata demikian, maka isterinya itu tetap makan dengan tangan kiri, walaupun suaminya berulang kali memberitahunya. Dengan tiba-tiba terdengar suara dari sebelah pintu, "Keluarkanlah tangan kananmu itu wahai hamba Allah, sesungguhnya kamu telah mendermakan sepotong roti dengan ikhlas kerana Ku, maka tidak ada halangan bagi-Ku memberikan kembali akan tangan kananmu itu."

Setelah gadis itu mendengar suara tersebut, maka dia pun mengeluarkan tangan kanannya, dan dia mendapati tangan kanannya berada dalam keadaan asalnya, dan dia pun makan bersama suaminya dengan menggunakan tangan kanan. Hendaklah kita sentiasa menghormati tetamu kita, walaupun dia fakir miskin apabila dia telah datang ke rumah kita maka sesungguhnya dia adalah tetamu kita. Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud, "Barang siapa menghormati tetamu, maka sesungguhnya dia telah menghormatiku, dan barang siapa menghormatiku, maka sesungguhnya dia telah memuliakan Allah S.W.T. Dan barang siapa telah menjadi kemarahan tetamu, dia telah menjadi kemarahanku. Dan barang siapa menjadikan kemarahanku, sesungguhnya dia telah menjadikan murka Allah S.W.T."

Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud, "Sesungguhnya tetamu itu apabila dia datang ke rumah seseorang mukmin itu, maka dia masuk bersama dengan seribu berkah dan seribu rahmat."

Saturday, September 22, 2012

KISAH DUIT SYILING

 
Kita selalu lupa pada yang memberi nikmat..

TINGG.....!!!! Bunyi syiling jatuh...

Wang syiling itu jatuh di hadapan seorang lelaki yg sedang asyik membancuh simen. Melihat logam kecil itu,tangan lelaki itu terhenti melakukan kerja. Tidak menunggu lama,tangannya segera mengutip syiling itu dan dimasukkan ke dalam poketnya.
Dia menyambung semula kerjanya.

TINGG!

Sekali lagi lelaki itu terpandang duit syiling tidak jauh dari sisinya.Lelaki itu menoleh ke kiri,kanan dan d
isekelilingnya.Tiada siapa yg berdekatan dengannya. Sekali lagi dia terus mengambil syiling itu dan menyimpan dalam koceknya.
Tidak lama kemudian,lelaki itu ternampak lagi duit syiling berdekatan dengannya. Pun sama,dia mengambil dan menyimpannya.
"Rezeki aku!" kata lelaki itu dalam hati.

Lelaki itu tidak sedar,logam syiling itu sebenarnya dicampakkan oleh ketuanya daripada aras lapan bangunan separuh siap yg mereka bina itu.
Sebenarnya ,ketuanya mahu memanggilnya.Ada pesanan yg mahu disampaikan ketuanya itu.Puas ketuanya menjerit daripada aras lapan,cuba memanggil lelaki itu yg berada pada aras paling bawah.

Namun,jeritan itu tidak mampu mengalahkan pelbagai bunyian mesin pembinaan di kawasan tersebut.Dek kerana itulah,ketuanya itu mencampakkan syilingnya dengan harapan lelaki itu akan mendongak melihatnya di atas.Mudah-mudahan,dapatlah dia menyampaikan pesananya kepada pekerjanya itu.

Sayangnya,sehingga habis wang syilingnya dibaling ke bawah,lelaki itu masih belum juga mendongak ke atas.

Lantas,ketuanya itu mengumpulkan serpihan batu kecil yg terdapat di lantai.Satu persatu batu kecil itu dibaling ke bawah.

Beberapa kali batu itu mengenai badan lelaki itu.Setelah merasa sakit dan terganggu,lelaki itu mendongak ke atas,melihat dari mana datangnya batu-batu kecil yg menyerangnya tadi.

Barulah dia ternampak kelibat ketuanya yg sejak tadi cuba mencuri perhatiannya bagi menyampaikan pesanan.

P/s : Sahabat sekalian,kisah ini sekadar tamsilan antara kita dengan Yang Maha Pencipta.Tanpa sedar,Allah sering menjatuhkan 'syiling' lambang rezeki,rahmat atau kesenangan yg tidak terkira banyak kepada kita.
Tuhan menjatuhkan 'syiling' itu sebagai satu panggilan agar kita sentiasa mendongak ke atas untuk mengingati dan bersyukur dengan kurniaan-Nya.Tetapi,kita acap kali lalai untuk 'mendongak' ke atas sebaliknya terus menikmati pemberian-Nya tanpa mengucapkan terima kasih.

Seperti kisah ketua dan pekerja tadi,apabila jatuhan syiling tidak berjaya menarik perhatian,lalu Dia jatuhkan pula 'batu' yg berupa musibah,kegagalan,keperitan dan pengalaman yg menyakitkan.
Dan hanya setelah kita merasa kesakitan itu,barulah kita teringat untuk mendongak,menadah tangan bersyukur mengingati Yang Maha Pencipta kita.

Tuesday, September 18, 2012

Permintaan Isteri Terhadap Jenazah Suaminya

Seorang isteri kesedihan apabila suaminya telah meninggal dunia. Dirinya telah membuat satu permintaan terhadap jenazah suaminya. Apakah permintaan itu? 

Menjadi idaman seorang suami apabila memiliki isterinya yang solehah. Begitulah di sebaliknya seorang isteri mengidamkan seorang suami yang solehah. Terdapat suatu kisah di mana seorang isteri menangis-nangis kerana mahu mandikan jenazah suaminya. Bapa mertua dengan polis forensik tidak membenarkan.Sambil menangis isteri berkata “Ini janji kami suami isteri.. jika abang mati dulu kamu (isteri) mandikanlah jenazah abang, Andai kamu (isteri) mati dulu dari abang, abang akan mandikan jenazah kamu.. ”

Dari luar bilik mayat hospital seorang ustaz masuk bertanya apahal yang terjadi, kemudian ustaz tu berkata : “Tidak mengapalah kalau isteri nak mandikan jenazah suami..” Lalu ustaz bersama beberapa orang lagi temankan si isteri memandikan jenazah suaminya.

Dengan tenang isteri membasuh muka suaminya sambil berdoa, “Inilah wajah suami yang ku sayang tetapi Allah lebih sayangkan abang.. Moga Allah ampunkan dosa abang dan satukan kite di akhirat nanti..

Membasuh tangan jenazah suami sambil berkata “Tangan inilah yang mencari rezeki yang halal untuk kami, masuk ke mulut kami. moga Allah beri pahala untuk mu suami ku..

Membasuh tubuh jenazah suami smbil berkata “Tubuh inilah yang memberi pelukan kasih sayang pada ku dan anak-anak, moga Allah beri pahala berganda untukmu wahai suamiku

Membasuh kaki jenazah suami smbil berkata “dengan kaki ini abang keluar mencari rezeki untuk kami, berjalan dan berdiri sepanjang hari semata-mata untuk mencari sesuap nasi, terima kasih abang…moga Allah beri kau kenikmatan hidup d akhirat dan pahala yang berlipat kali gandanya

Selesai memandikan jenazah suaminya, si isteri mengucup sayu suaminya dan berkata “terima kasih abang kerana aku bahagia sepanjang menjadi isterimu dan terlalu bahagia dan terima kasih kerana meninggalkan aku bersama permata hatimu yang persis dirimu dan aku sebagai seorang isteri redha akan pemergianmu kerana kasih sayang Allah pada mu.

Betapa sucinya hati seorang isteri pada suaminya. Semoga menjadi iktibar untuk kita bersama. InsyaAllah.


Ulasan Admin : Jika kita menghayati setiap bibit kata yang diterpancar dari mulut wanita ini, sudah tentu kita akan berasa sebak, lebih-lebih lagi jika kita sudah mempunyai seorang suami mahupun isteri. Didik dan bimbinglah isteri kita ke jalan yang lurus. Taatlah kepada suami kamu sebagaimana kami mentaati ibu bapa kamu. 
p/s BUNKCOP berdoa agar kita semua dapat isteri yang solehah seperti kisah diatas... amin...

sumber : islam itu suci

Sunday, September 16, 2012

TIPS MENCARI SAHABAT

5 Tips Cari SAHABAT.

Kalau nak tahu perangai seseorang, lihatlah bagaimana perangai sahabat atau kawan-kawannya. Kalau baik sahabatnya, insyaAllah dia memang baik. Tapi kalau kawannya itu perangai macam syaitan, maka perangai dia pun besar kemungkinan macam syaitan juga.

Para pembaca semua, ketahuilah, mencari sahabat yang baik itu adalah dituntut oleh agama kita. Maka cari dan pilihlah sahabat yang baik-baik akhlaknya.

Artikel di bawah ini mungkin boleh dijadikan panduan bagaimana untuk pilih sahabat.
Pesanan al-Qamah (seorang sahabat Rasulullah saw) kepada anaknya:

Pertama
Pilihlah sahabat yang suka melindungi sahabatnya, dia adalah hiasan diri kita dan jika kita dalam kekurangan nafkah, dia suka mencukupi keperluan.

Kedua
Pilihlah seorang sahabat yang apabila engkau menghulurkan tangan untuk memberikan jasa baik atau bantuanmu, dia suka menerima dengan rasa terharu, jikalau ia melihat kebaikan yang ada pada dirimu, dia suka menghitung-hitungkan (menyebut-nyebutnya).

Ketiga
Pilihlah seorang sahabat yang apabila engkau menghulurkan tangan untuk memberikan jasa baik atau bantuanmu, ia suka menerima dengan rasa terharu dan dianggap sangat berguna, dan jika ia mengetahui mengenai keburukan dirimu ia suka menutupinya.

Keempat
Pilihlah sahabat yang jikalau engkau meminta sesuatu daripadanya, pasti ia memberi, jikalau engkau diam, dia mula menyapamu dulu dan jika ada sesuatu kesukaran dan kesedihan yang menimpa dirimu, dia suka membantu dan meringankanmu serta menghiburkanmu.

Kelima
Pilihlah sahabat yang jikalau engkau berkata, ia suka membenarkan ucapan dan bukan selalu mempercayainya saja. Jikalau engkau mengemukakan sesuatu persoalan yang berat dia suka mengusahakannya dan jika engkau berselisih dengannya, dia suka mengalah untuk kepentinganmu.

Dalam memilih sahabat kita hendaklah memilih sahabat yang baik akhlaknya, baik pegangan agamanya, baik tutur katanya dan baik budi bahasanya. Pilihlah sahabat yang boleh memahami kita dan yang dapat membantu kita mendekatkan diri kepada Allah ta’ala. Itulah ciri sahabat sejati.

Akhir kata, untuk mendapat sahabat yang baik, kita sebenarnya perlulah terlebih dahulu menjadi seorang sahabat yang baik kepada orang lain.

Sekiranya diri kita dianggap sebagai seorang sahabat baik, maka kita nanti akan dikurniakan sahabat yang baik oleh Allah Ta’ala. Yakinlah.

Friday, September 14, 2012

KONVOI KEMBARA MERDEKA

sinar harian 12 september
Pada hari Sabtu bersamaan 8/9/2012, sebanyak 30 buah kereta sebuah van dan bas telah berjaya menjayakan satu program rancangan kerajaan negeri.

Perjalanan konvoi dari Jitra ke perkarangan pasaraya Billion jalan kuala kedah seterusnya ke perkarangan tesco sungai petani diteruskan lagi ke kawasan perhentian bas kuala ketil, dan seterusnya ke perkaranan pasaraya billion baling dan berakhir di kawasan parking teksi di hentian bas baling. Skuad motor berkuasa tinggi (ARC) dilantik sebagai unit pengawal keselamatan ketika di atas jalanraya.

Tujuan konvoi ini untuk menyampaikan risalah ERTI KEMERDEKAAN dan membangkitkan kembali semangat kemerdekaan di kalangan rakyat, yang kita lihat semakin pudar kefahaman dikalangan rakyat, selain ada jugak pihak yang mengambil kesempatan diatas erti kemerdekaan ini. 

Syukur kepada Rabbul Izati, kerana memberi peluang kepada BUNKCOP untuk mengikuti konvoi ini, selain memberi kesedaran kepada diri, BUNKCOP merasakan kemeriahan suasana kemerdekaan ni patut diteruskan seperti perayaan-perayaan yang lain untuk memberi kekuatan kepada kita sebagai rakyat untuk terus mengingati jasa-jasa perjuang tanah air, dan mengharapkan kemerdekaan ini berterusan.

Ribuaan terima kasih diucapkan kepada semua yang telah menjayakan konvoi kembara merdeka ini dari pihak tertinggi sehinggalah sukarelawan yang turut serta dalam konvoi ini. Kita berharap program baik seumpama ini dapat diteruskan.

bawah ini video sekitar konvoi yang berjaya dirakam oleh aman tv.


Monday, September 10, 2012

SELAMAT MENUDUKI PEPERIKSAAN UPSR

Hari ini pelajar2 sekolah rendah menduduki UPSR...

Ada xsiapa2 diantara ahli keluarga @ kenalan yg menduduki UPSR?

Didoakan semua adik-adik dpt mnjwb dgn tekun dan baik justeru melahirkan pelajar yg cemerlang didunia & akhirat...

Bittaufiq Wannajah fil imtihan!!! Ya rabbi najjihna fil kulli imtihan fid dunya walakhirah..Ya Allah, berikanlah kami kejayaan dalam setiap ujian di dunia dan akhirat..aameen...


Wednesday, September 5, 2012

KES PELAJAR TAHFIZ TELAH SELESAI REMAN



4 September - Alhamdulillah petang ini dengan berkat usaha bersungguh-sungguh tok tok guru ulamak tahfiz dan doa serta solat hajat daripada rakan, waris dan semua , 10 pelajar Tahfiz yang telah ditahan reman selama 6 hari di Pejabat Polis Kota Setar di benarkan keluar dengan jaminan polis.
 Mereka yang dituduh mencederakan pencuri yang masuk mencuri barangan mereka di asrama hingga pencuri mati telah dibantu oleh 2 orang peguam yang dilantik.

Turut menanti mereka di Pejabat Polis Kota Setar ialah ibu bapa, sanak saudara dan tok-tok guru tahfiz. Penantian dengan penuh rasa kehibaan dan kesayuan sebenarnya disambut dengan kegembiraan.

Selepas dibebaskan mereka terus menuju ke Maahad Tahfiz bersebelahan  Masjid Sultanah.\

Wahai sahabat-sahabatku sekalian, marilah kita menadah tangan untuk berdoa kepada adik-adik kita ini, berani saya katakan tak terlintas sedetik pun dihati adik-adik kita terfikir, perkara seperti ini akan berlaku.. mohon jasa semua agar kita bersatu dalam doa kita agar mereka selamat, mereka bukanlah penjenayah.. tapi mereka adalah para-para huffaz yang insyallah akan menjadi imam & pemimpin ummah  suatu hari nanti, wahai adik-adikku, ku tahu betapa berat ujian yang adik-adik rasa ketika ini, jangan pernah putus berharap kepadaNYA, kerana yakin dan pastilah ada hikmah disebalik apa yang berlaku, kuatkan semangat,  kami sentiasa mendoakan adik-adik selamat.


Tuesday, September 4, 2012

GANGNAM STYLE - USTAZ NASRUDIN HASSAN

tarian ala kuda

Jika diikutkan kepada bentuk fizikal, Jae-Sang Park atau nama timangannya Psy, bukannya seorang yang kacak. Bentuk badannya yang agak gempal berbeza dengan syarat ketampanan aktor Korea iaitu kurus dan kacak. Bahkan jika dilihat sekali imbas kepada Psy, barangkali tiada yang boleh menarik perhatian ramai. Namun, sebuah video klip yang dimuat naik ke laman You Tube pada 15 Julai 2012 lalu telah merubah keseluruhan hidup Psy.

Itulah fenomena Gangnam Style. Bukanlah niat saya untuk mempromosi tarian yang menjadi kegilaan anak-anak muda sekarang ini, teapi sekadar mengambil satu pengajaran, nampaknya ada perkara yang boleh dikongsikan.

Saya terbaca kata-kata Psy, “Selama 12 tahun saya berkecimpung dalam arena muzik Korea dan membuat pelbagai tarian ‘bodoh’, namun peminat tidak sekalipun berpaling kepada saya kerana secara visual, saya memang kalah dengan selebriti kacak lain yang ada. Saya cuma dikenali di sana kerana saya tidak terlalu mencuba, tidak dipromosikan malah tidak pernah terfikir pun hendak tembus ke luar negara. Semua yang berlaku sekarang pun hanya gara-gara YouTube mahupun twitter dan inilah dia pembuka periuk nasi sebenar saya…”

Hari ini, 4 September 2012, klip video Gangnam Style telah ditonton lebih 90 juta umat manusia di seluruh dunia. Kelihatan sepintas lalu, tarian ini tidak lain hanyalah aksi menunggang kuda yang dipamerkan melalui gerak kaki yang pelik, tetapi gabungan warna yang menceriakan persembahan barangkali menarik minat golongan kanak-kanak sehinggalah dewasa.

Inilah bukti bagaimana You Tube telah menjadi sebahagian hidup manusia moden pada hari ini. Sebelum Psy, kita telah mendengar bagaimana kemunculan Justin Beaber yang juga popular melalui You Tube. Begitu juga beberapa nama di Malaysia seperti Najwa Latiff serta populariti seumpama Cikgu Shida dan Mat Luthfi juga mencipta nama melalui You Tube.

Tidak ketinggalan pada asatizah seperti Ustaz Azhar Idrus yang mulanya dikenali sebagai Ustaz Youtube yang rakaman kuliahnya dipotong pendek pendek mengikut persoalan-persoalan yang diajukan di dalam kuliahnya. Ia agak menarik dan akhirnya mencetuskan fenomena. Lebih menarik, fenomena Ustaz Azhar Idrus telah memikat bukan sahaja orang-orang yang biasa berminat dengan kuliah agama, bahkan anak-anak muda yang kebiasaannya sukar untuk diajak ke masjid. Ustaz Azhar Idrus mampu melakukannya.

Dalam konteks parti politik, bagaimana mencetuskan fenomena melalui You Tube? Sekurang-kurangnya menjelang pilihanraya umum 13 ini, biar satu fenomena hebat terjadi. Adakah perlu belajar daripada Gangnam Style?

sumber : ust narudin hassan 
 

Monday, September 3, 2012

MUHASABAH DIRI DENGAN DUNIA SEKELILING



Cerita pendek di BSN Jitra hari ni ~

Seorang ibu tua berusia kira-kira 65-70 tahun berjalan perlahan-lahan di hadapanku dengan bantuan tongkat berkaki tiga, dengan kudrat yang lemah, pintu cermin BSN ditolaknya perlahan-lahan, aku hanya mengekor dari belakang, sampai di hadapan ATM BSN, tak semena-mena dia berpaling kepadaku.

'Nak, boleh tolong mak cik keluarkan duit guna mesin ni, mak cik bukan reti sangat,' selajur dia menghulurkan kad bank dan diserahkan kepadaku.

'Berapa ringgit makcik nak keluarkan?' tanyaku sambil tersenyum.

'Cuba tengok ada berapa bakinya,' jawab mak cik tua itu, tersenyum membalas.

'Allahuakbar, Rm195..' bisik hatiku, tersentak melihat baki dalam akaun mak cik tersebut.

'Boleh dak kalau keluarkan RM170..?' lantas kutekan kekunci ATM, dan wang itu aku serahkan padanya.

'Mak cik, ni draf bank, baki dalam akaun mak cik tinggal RM25..' hatiku jadi rawan.

'Allahuakbar, astagfirullahal'azim..' bisik suara dalam hati, pilu menjalar ke relung hati.

'Terima kasih nak, suami mak cik ada kat luaq, dia pun kaki tak kuat dah, tu yang mak cik sendiri mai bank ni..' jelas mak cik itu seraya kami bersalaman.

# Moral of this story: terpulang pada anda, semakin banyak pengajaran yang dapat anda petik, beerti semakin beruntung hidup dalam mengenal erti kehidupan dunia.
Belajar bersyukur,
belajar menyelami hati,
belajar memahami,
belajar menghargai,
belajar memberi,
belajar berbudi,
belajar berdikari,
belajar menyedari,
belajar mendoakan,
belajar dan terus belajar dengan kehidupan.
Moga kehidupan berakhir dengan 1001 erti.

Moga Allah melimpahkan nikmatNya buat ibu tua itu dunia dan akhirat. Ameen.

sumber : Ana Nisa

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

WORLD MAP VISITOR

Locations of Site Visitors