Thursday, August 13, 2015

Apa Kata Tuan Guru Haji Hadi Awang : Prof DR. Wahbah AzZuhaili

Al-Marhum Dr Wahbah Az-Zuhaili yang saya kenali
Cetak   E-Mel Butiran Diterbitkan: 13 Ogos 2015 Ditulis oleh ABDUL HADI AWANG

Pada petang hari sabtu 23 Syawal 1436 bersamaan 8 Ogos 2015 yang lalu. Umat Islam seluruhnya kehilangan Tokoh Ulama Besar, laksana kehilangan satu bintang yang menunjuk arah perjalanan yang jauh di alam dunia sehingga akhirat, kerana ilmunya, amalan dan perjuangannya melalui tulisan dan lisan . Dr Wahbah Az-Zuhaili Rahimahullah berusia 83 tahun, Allamah bumi Syam atau Syria, kalangan mereka yang benar-benar mewarisi pusaka Anbiya AS.
Saya mula mengenali Almarhum melalui kitabnya yang terawal berkenaan Usul Fiqh dan diikuti penulisan yang berikutnya, menunjukkan keilmuan beliau yang tinggi, khusus dalam bidang Syariat, sehingga seringkali menjadi rujukan para ulama seluruh dunia. Ketokohannya sehingga dilantik menjadi ahli Persatuan Ulama Sedunia, menyertai Majmak Taqrim dikalangan mazhab, Ahli Majlis Fiqh dibawah OIC dan dijemput menjadi Penal Syariah dibanyak Negara umat Islam, termasuk Malaysia.
Alhamdulillah, saya berkesempatan menemuinya secara dekat berkenalan dalam banyak persidangan antarabangsa diluar negara, membincangkan isu umat Islam dan perpaduannya, mendengar ucapan dan berbincang secara lisan dalam bengkel persidangan dan pertemuan peribadi. Seterusnya saya menjadi tetamu Almarhum apabila melawat Universiti Dimasyk Syria di tahun 2013.
Beliau adalah salah seorang ulama yang mendukung perjuangan Islam secara ilmu, bukan sahaja tulisannya sahaja, bahkan para pelajar Malaysia yang menuntut di-bumi Syria melaporkan keberanian beliau menyampaikan kuliah dan khutbah Jumaat di masjid secara berterus terang menyatakan yang benar, tanpa takut kepada manusia. Namun Almarhum sependapat dengan saya supaya masalah umat Islam dalam tanah air sendiri dan kalangan kaum bangsa sendiri berbeza dengan menghadapi musuh yang datang menceroboh, mewajibkan Muwajahah Silmiyyah (secara damai ) tidak melampau.
Sehingga apa yang berlaku dalam dunia Islam sendiri, khususnya di Syria terkini adalah fitnah dalaman yang dicampuri syaitan dalaman umat dan diluar mereka. Almarhum mengambil sikap yang berani bersama rakyat dalam penderitaan tanpa keluar negara sehingga akhir hayat.
Adapun sokonganya kepada PAS cukup bermakna, apabila Almarhum menyebut nama Almarhum Dr Abdullah Ibrahim Bekas Ahli Majlis Syura Ulama PAS adalah rakan sepengajian beliau, dan apabila menemui saya terus menyebut : "Salam sejahtera wahai Mujahid !". Ucapan beliau yang sentiasa berdengung ditelinga saya dan masuk kedalam kalbu. Bukan hanya untuk saya, bahkan untuk mengiktiraf perjuangan PAS bagi menegakkan Islam dengan cara yang Istiqamah.
Marilah berdoa untuk Almarhum dan bersembahayang ghaib, dengan doa supaya menempatkannya bersama para Nabi, Siddiqin, Syuhada dan Solehin. Mudah-mudahan kita bersama beliau di alam akhirat di kalangan mereka yang berbahagia di sisi Allah.
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
28 Syawal 1436 H / 13 Ogos 2015 M
Dihantar oleh: WanAsrul

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

WORLD MAP VISITOR

Locations of Site Visitors