Pernah tengok gambar ni kat kedai x????
DYMM Almarhum Tuanku Sultan Abdul Hamid
Halim Shah Ibni Almarhum Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah telah diputerakan
pada 4hb. Jun 1864. Baginda ialah Sultan Kedah yang ke-28 dan memerintah dari
tahun 1882 sehingga 1943. Baginda menaiki takhta sebagai Sultan Kedah pada
21hb. Januari 1882 ketika baginda berusia 19 tahun, setelah kemangkatan kekanda
baginda iaitu Sultan Zainal Rashid Muadzam Shah.
Memandangkan usia baginda masih muda
ketika ditabalkan, baginda telah melantik Jemaah Pemangku Raja untuk membantu
baginda dalam urusan pentadbiran negeri. Sultan Abdul Hamid sering mengadakan
lawatan ke negeri-negeri lain untuk meninjau kemajuan negeri berkenaan dan
belajar tentang urusan pentadbiran negeri. Pada tahun 1885, baginda melawat
negeri Perak. Baginda juga mengunjungi Singapura untuk tujuan yang sama. Sultan
Abdul Hamid sering mengunjungi Bangkok untuk merapatkan hubungan dengan
penanungnya iaitu Rama IV. Setiap kali tiba hari perayaan atau hari keputeraan
Rama IV, baginda akan ke Bangkok dengan menaiki kapal baginda 'Good Luck'.
Antara kota lain yang pernah dilawati ialah Rangoon (Yanggon), Mandalay, Bombay
(Mumbai) dan menghadiri upacara pertabalan Raja Inggeris, King George V pada
tahun 1911.
Berdasarkan hubungan diplomatik yang
erat dengan kerajaan Siam, baginda telah dikurnai bintang 'Order the White
Elephant First Class' bersama gelaran Chao Phya Saiburi. Atas kegigihan
baginda, kerajaan Siam menganugerahkan pangkat 'Chao Phya Riddisongkran Bakti'
serta dilantik sebagai Pesuruhjaya Tinggi Setul dan Perlis. Ketulusan hati
baginda telah berjaya menawan hati Raja Chulalongkorn, hinggakan putera baginda
iaitu Tunku Yusof, Tunku Badlishah dan Tunku Mohammad Jewa telah dijadikan anak
angkat Raja Chulalongkorn dan dimasukkan ke King's College di Bangkok. Tunku
Yusuf sebagai King's Scholar kemudiannya dihantar ke Rugby School, England
untuk melanjutkan pelajarannya. Tunku Badlishah yang juga sebagai King's
Scholar dihantar ke Wadham College, Oxford untuk melanjutkan pelajaran dalam
bidang ekonomi. Sementara Tunku Mohammad Jewa terus menuntut di King's College
sehingga 1909 sebelum meneruskan pelajaran di Maktab Melayu Kuala Kangsar.
Sultan Abdul Hamid telah melakukan
banyak perubahan dalam urusan pentadbiran. Pada akhir abad ke-19, baginda telah
mewujudkan Jabatan Perbendaharaan, Jabatan Tanah dan Ukur, Jabatan Audit,
Pejabat Besar Pos dan Telekom serta Mahkamah Keadilan. Baginda juga telah
menubuhkan Council Negeri yang berperanan membantu dalam urusan pentadbiran.
Anggota majlis tersebut terdiri daripada Tunku Ibrahim, Tunku Abdul Aziz (Raja
Muda), W.J.F. Williamson (Penasihat Kewangan), Haji Ahmad (Hakim Besar) dan Cik
Mohamed Ariffin (Setiausaha Kerajaan). Kecekapan Datuk Wan Muhammmad Saman
sebagai Perdana Menteri telah banyak membantu baginda dalam pentadbiran negeri.
Kematian Datuk Wan Muhammmad Saman pada 14hb. Disember 1898 merupakan satu
kehilangan besar kepada negeri Kedah.Sementara untuk jaminan keselamatan,
baginda telah mencadangkan penubuhan pasukan polis.
Sultan Abdul Hamid juga membawa banyak
pembaharuan dalam bidang ekonomi. Antaranya ialah baginda menggalakkan
penanaman padi di negeri Kedah. Hasil perbincangan dengan Datuk Wan Muhammmad
Saman, terusan sepanjang 22 batu, 24 kaki lebar dan sedalam 5 kaki telah dibina
bermula dari Sungai Kedah ke kaki Gunung Jerai untuk tujuan pengairan. Selain
penanaman padi, penanaman getah turut diperkenalkan pada tahun 1909. Anakanda
baginda, Tunku Ibrahim telah memperkenalkan pekan sehari atau lebih dikenali
sebagai 'pekan nat' untuk para petani memasarkan hasil pertanian mereka.
Baginda telah berkenan menganugerahkan sebidang tanah sebagai tapak untuk
pembinaan 'Pekan Rabu'.
Sultan Abdul Hamid turut mengambil
berat soal perkembangan agama Islam. Sekembali dari Siam pada tahun 1885,
baginda telah memberi perhatian terhadap usaha membesarkan Masjid Zahir.
Baginda mengambil contoh masjid di Acheh untuk reka bentuk baru Masjid Zahir.
Baginda telah menubuhkan Majlis Ulama, mengusahakan pembinaan Madrasatul
Hamadiah di Limbung Kapal dan memperkenan pembinaan Al Ma'hadi Mahmud (Maktab
Mahmud) di Jalan Pegawai. Selain itu, baginda telah memperkenalkan jubah untk
dipakai oleh kakitangan masjid.
Sultan Abdul Hamid juga
berkebolehan menguasai bahasa Inggeris, bahasa Siam dan bahasa Arab. Baginda
amat menitikberatkan soal pendidikan rakyat. Untuk tujuan itu, banyak sekolah
didirikan. Antaranya di Kulim (1896), Jalan Baru Alor Star (1898), Yan (1900),
Simpang Empat Kangkung (1906) dan Junjung, Kulim (1906). Atas keprihatinan
melihat pelajar aliran Inggeris berulang-alik untuk mendapat ilmu di Pulau
Pinang, baginda telah perkenan menubuhkan sebuah sekolah Inggeris yang pertama
pada tahun 1908 di Alor Star yang kemudiannya dikenali sebagai Kolej Sultan Abdul
Hamid (KSAH). Pada peringkat awal, para pelajarnya hanya terdiri daripada
anak-anak golongan bangsawan. Namun pada tahun 1911, KSAH telah dibuka untuk
orang ramai. Pada tahun 1917, KSAH telah dirasmikan oleh baginda. Sekolah Cina
turut dibenarkan dibina. Pada tahun 1930-an wujud pula sekolah Tamil pertama di
negeri Kedah iaitu di Kuala Muda.
Antara pembaharuan lain ialah baginda
menggerakkan usaha pembinaan jalan raya, memprkenalkan perkhidmatan telegraf
(1899), penubuhan Jabatan Kesihatan dan penjara (1905), hospital (1908) serta
pengemasan Balai Nobat (1912). Baginda turut memperkenalkan bendera peribadi
baginda yang berwarna kuning pada tahun 1912.
Menginjak di penghujung pemerintahan,
baginda telah kehilangan kaum kerabat yang banyak membantu iaitu Tunku Aziz,
Tunku Mahmud dan Tunku Ibrahim. Baginda sendiri turut mengalami masalah
kesihatan. Semasa kedatangan Jepun pada tahun 1943, baginda telah melarikan
diri mengikut pegawai-pegawai Inggeris. Atas kebijaksanaan Tunku Abdul Rahman,
baginda dibawa ke Sidim, Kulim untuk mendapatkan perlindungan. Baginda telah
menduduki takhta selama 62 tahun. Baginda dianggap sebagai seorang Sultan yang
memiliki kebesaran daulat oleh banyak generasi. Baginda juga dikenali dengan
gelaran Yang Di-pertuan.
Baginda mangkat pada 13hb. Mei 1943 dan
diganti oleh Sultan Badlishah. Anakanda-anakanda almarhum termasuklah DYMM
Sultan Badlishah, Tunku Ya'acob dan Tunku Abdul Rahman Putra yang dilahirkan
pada 8hb. Februari 1903 di Alor Star. Tunku Abdul Rahman Putra ialah Perdana
Menteri Malaysia pertama (1957 - 1959 dan 1959 - 1970). Beliau meninggal dunia
pada 6hb. Disember 1990 di Kuala Lumpur. KDYMM Tuanku Sultan Abdul Halim yang
memerintah negeri Kedah Darul Aman sekarang ialah cucunda DYMM Tuanku Sultan
Abdul Hamid Halim Shah.
Catatan:
Diedit dari
esei asal yang diterbitkan di dalam buku "Indah Khabar Indah Rupanya"
(diterbitkan sempena KSAH 100 Tahun).
0 comments:
Post a Comment