Alhamdulillah,
kita bertemu lagi dengan penghulunya segala hari. Hari yang sentiasa
ditunggu-tunggu oleh orang - orang yang beriman bagi menambahkan saham akhirat
mereka. Pada hari ini ganjaran amalan kebajikan seseorang akan dibalas dengan
berganda sebagaimana dinyatakan oleh Sayyidina Abu Hurairah RA yang
diriwayatkan oleh Imam ath-Thabarani bahawa Junjungan Nabi SAW bersabda: "
Ganjaran bagi segala kebajikan digandakan pada hari Jumaat".
Makhluk Allah selain Bani Adam juga tidak ketinggalan menunggu dan bergembira
dengan kedatangan hari yang mulia ini. Hujjatul Islam Imam al-Ghazali
rahimahullah menyebut bahawa Ka`ab al-Ahbar RA menyatakan bahawa haiwan dan
mergastua apabila bertemu antara sesama mereka pada hari Jumaat akan
mengucapkan "Salam, Salam hari yang baik."
Hari
ini juga adalah hari di mana segala amalan kita di mana amalan kita ditunjukkan
kepada Baginda Nabi SAW sebagaimana dinyatakan dalam hadits "tu'radhul
a'maal" yang masyhur, yang menyatakan:-
Segala amalan dibentangkan kepada Allah pada tiap-tiap
hari Isnin dan Khamis. Dan dibentangkan kepada para Nabi dan para ibubapa pada
hari Jumaat, maka mereka bergembira dengan (melihat) segala kebaikan mereka
yang hidup tersebut dan bertambah bercahaya wajah-wajah mereka serta
bersinar-sinar. Maka bertaqwalah kamu kepada Allah dan janganlah kamu menyakiti
orang-orang mati kamu (yakni dengan melakukan dosa dan maksiat yang menyebabkan
kesedihan kepada si mati).
Hari
ini juga adalah hari ucapan shalawat kita kepada Junjungan Nabi SAW akan
dipersembahkan terus kepada baginda, sebagaimana dinyatakan dalam banyak
hadits, antaranya yang diriwayatkan oleh Imam al-Baihaqi bahawa Junjungan Nabi
SAW bersabda: "Perbanyakkanlah bersholawat ke atasku pada setiap
hari Jumaat, kerana shalawat umatku dibentangkan / dipersembahkan kepadaku pada
setiap hari Jumaat. Maka sesiapa yang banyak bershalawat ke atasku, jadilah
mereka orang yang paling hampir kedudukannya denganku."
Marilah kita
rebut peluang keemasan ini dengan sebaik-baiknya. Basahkan lidah dengan ucapan
shalawat dan salam ke atas Junjungan Nabi SAW. Moga ungkapan shalawat kecintaan
tersebut meresap ke hati sanubari kita dan menumbuhkan pohon - pohon mahabbah
yang sejati kepada Baginda Nabi SAW. Ingat senantiasa bahawa sesiapa yang
kasihkan sesuatu atau seseorang, pasti dia akan banyak menyebut dan
mengingatinya. Ingat juga bahawa seseorang itu akan bersama dengan orang yang
dikasihinya.
0 comments:
Post a Comment